myspace codes
Click here for Myspace glitter graphics and Myspace layouts

Saturday, August 7, 2010

UUMotivasi : BEKERJA




Pencapaian individu dalam sesuatu perkara adalah berbeza di antara satu sama lain. Setiap individu mempunyai bentuk pencapaian yang berbeza berdasar kepada beberapa faktor, seperti pengalaman bakerja, minat terhadap kerja, kesesuaian dengan jawatan yang disandang, kebolehan fizikal dan intelektual yang berbeza dan perbezaan tahap motivasi pekerja. Segala tingkah laku individu semasa bekerja banyak dipengaruhi oleh tahap motivasi individu terhadap tindakan yang dilakukan. Motivasi dalam hal ini merujuk kepada kepuasan yang individu diperoleh dan dicapai apabila melakukan sesuatu tugas. Bagi pekerja, motivasi merupakan satu istilah yang digunakan untuk mengembangkan suasana pengurusan yang optimum ama ada daripada sudut pengiktirafan ataupun pemupukan minat bekerja. Pemupukan minat dalam bekerja adalah sangat penting kerana minat merupakan satu elemen yang akan mendatangkan kesan dalam motivasi seseorang untuk terus bertindak dan merasai kepuasan dalam pekerjaan.

Kepentingan motivasi terhadap setiap individu boleh dilihat dalam beberapa sudut. Motivasi akan menyebabkan individu sentiasa mempunyai minat untuk mengejar kejayaan sama ada terhadap benda atau individu lain. menurut Atkinson (1965) apabila individu mula menghadapi situasi mengejar sesuatu perkara, benda atau orang, terdapat dua jenis motivasi yang bertentang akan timbul pada masa yang sama semasa bekerja iaitu motivasi mengejar kejayaan dan motivasi mengelak kegagalan. Fenomena psikologi ini dasebutkan sebagai konflik menuju-mengelak. Motivasi boleh dianggap sebagai motif penggerak kepada individu dalam pengurusan untuk membangkitkan minat dan semangat dalam berurusan.

Motivasi ialah proses dalaman yang mewujudkan segala tingkah laku individu seharian. Tingkah laku dilakukan oleh individu berpunca daripada tahap motivasi yang ada pada dirinya. Sekiranya tingkah laku yang dipilih dapat memberi kepuasan dan ketenangan kepada individu, maka tingkah laku itu akan dilakukan secara berterusan dan berulang-ulang kerana minat untuk melakukannya wujud. Ini kerana minat akan wujud setelah sesuatu tindakan itu dapat memberi kepuasan disebalik tingkah laku yang dibuat.

Motivasi juga sangat penting kerana dapat mewujudkan penumpuan dan perhatian yang sepenuhnya terhadap apa yang dilakukan dan bukannya perlakuan kerana terpaksa. Individu yang mempunyai motivasi akan melakukan sesuatu tindakan secara bersemangat tanpa perlu disuruh-suruh atau diarahkan oleh pihak majikan. Di samping itu, motivasi sangat perlu dalam bekerja kerana mampu mewujudkan nilai persaingan yang sihat dan positif di kalangan individu. Motivasi menjadi asas kepada tenaga penggerak individu untuk bekerja dan mancipta sesuatu persaingan yang positif di tempat kerja.

Terdapat beberapa ciri penting terhadap motivasi dalam bekerja. Ciri pertama ialah pembentukan matlamat dalam bekerja. Seseorang individu terdorong untuk melakukan sesuatu tindakan apabila mempunyai matlamat atau tujuan yang jelas. Matlamat merupakan satu bentuk tenaga psikologi yang akan mendorong individu untuk melakukan sesuatu tingkah laku yang sesuai. Matlamat seseorang pula berkait rapat dengan tahap keinginan individu untuk cuba memenuhi segala aspek keperluan dalam hidup.

Ciri kedua ialah pembentukan pemikiran yang jelas. Bentuk pemikiran haruslah jelas terhadap apa yang sedang dilakukan dan mempunyai keupayaan untuk memproses maklumat dalam merealisasikan jenis pekerjaan yang sedang dilakukan. Motivasi memerlukan individu yang mampu untuk membuat keputusan dan menangguing akibat di sebalik keputusan dan tindakan yang telah diambil. Ciri ketiga ialah pembentukan proses sosial. Motivasi akan lebih berjaya sekiranya individu berjaya mendapat sokongan dan bantuan yang sewajarnya daripada rakan-rakan sekerja dalam melakukan sesuatu tindakan. Sokongan dan kerjasama yang diperoleh akan mendatangkan kesan yang hebat kepada tahap motivasi seseorang individu. Sosial yang baik dapat menghalau segala bentuk masalah, halangan atau kesukaran semasa menjalankan sesuatu tindakan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi motivasi kerja seseorang iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Faktor dalaman merujuk kepada motivasi dalam diri sendiri. Manakala faktor luaran merupakan semua bentuk dorongan yang ada di sekitar.Kedua-dua faktor tersebut dapat diambil kira dalam pengurusan kerja kerana faktor-faktor tersebut akan menentukan tahap motivasi sseorang individu. tahap motivasi boleh dilihat pada bentuk tingkah laku yang dihasilkan, sama ada dlam bentuk kognitif, afektif ataupun psikomotor. Motivasi pada tahap yang tinggi sekiranya tingkah laku yang ditonjolkan membawa kecemerlangan pada kualiti kerja, seperti cara pemikiran dan membuat keputusan yang baik dalam bidang pekerjaan.

Tahap motivasi kerja juga boleh dikenal pasti melalui tahap usaha ke arah mencapai perubahan dalam segala rancangan dan tindakan. Sekiranya individu tersebut mempunyai cukup motivasi, dia sentiasa berusaha untuk mendapat perubahan dan pembaharuan dalam egala aspek yang melibatkan dunia kerjanya. Di samping itu, tahap komitmen yang berterusan juga boleh dianggap sebagai tahap motivasi terutama apabila menghadapi halangan. Motivasi dapat membentukan individu untuk sanggup memberi komitmen dan kesungguhan walaupun ketika terpaksa berhadapan dengan dugaaan dan ujian dalam pekerjaaan.

Terdapat beberapa langkah yang berkesan dapat menimbulkan motivasi ke arah kerja yang berkualiti. Langkah pertama ialah menetapkan matlamat yang jelas. Individu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang diharapkan dan lebih bermotivasi untuk bekerja. Langkah kedua ialah individu yang bermotivasi ingin membina kehendak diri yang tinggi. Kesungguhan individu terhadap sesuatu pekerjaan akan menjadikan individu tersebut lebih bersemangat dan bersedia untuk berfungsi dan lebih cemerlang. Langkah ketiga ialah memantapkan keyakinan diri dalam melakukan setiap tindakan. Dengan menyedari segala potensi dan kekuatan diri, individu akan menjadi lebih yakin dan berkemampuan untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pekerjaan.

Langkah keempat ialah meletakkan diri agar sentiasa bergaul dengan orang yang bermotivasi. Individu bergaul dengan rakan-rakan yang juga mempunyai semangat bekerja yang tinggi dan sentiasa bermotivasi dalam hidup dapat memotivasi individu bekerja bersungguh-sungguh. Langkah kelima ialah memberi ganjaran kepada diri sendiri. Perbuatan seperti menghadiahkan diri sendiri dengan sesuatu ganjaran sebagai tanda telah memperoleh kejayaan akan membawa lebih motivasi kepada individu.

Kesimpulannya, segala tingkah laku individu dalam mencapai tahap kerja berkualiti dalam sesebuah organisasi adalah berkait rapat dengan tahap motivasi individu tersebut dalam pengurusan kerja. Motivasi merupakan sesuatu proses kognitif yang mempunyai hubungan dengan cara seseorang individu menguruskan matlamat kerja berkualiti sabelum memulakan sesuatu pekerjaan. oleh itu, sebelum seseorang individu mengetahui tahap motivasi kerjanya terlebih dahulu individu tersebut perlu diterapkan dengan matlamat sebenarnya dalam kerja iaitu untuk mencapai kualiti terbaik dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.


Disediakan oleh : Chan Wei Fong ( 196427 )




No comments:

Post a Comment